BlogEasy - Free Web Hosting For Your Free Blog.  Free Blog Hosting.

Lonjakan Perkasa Bangsa

DISKUSI MENGENAI AMANAT PAK LAH DALAM PERHIMPUNAN AGUNG 2005
Bawah artikel ini ada ruangan untuk saudara/ri memberi pendapat dan berbincang mengenai ucapan Pak Lah. Keseluruhan teks sengaja di pamerkan untuk bacaan saudara/i sebelum membuat komen


'Lonjakan Perkasa Bangsa'


UCAPAN YAB DATO’ SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI
PRESIDEN UMNO DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-56
DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTERA (PWTC)
21 JULAI 2005


“LONJAKAN PERKASA BANGSA”

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden
Naib Presiden-Naib Presiden
Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Tuan-Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Besar
Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL
Wakil Parti-Parti dari luar negara
Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan
Para Perwakilan dan Pemerhati


MUKADIMAH

1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari Nya juga, kita berkampung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, untuk melangsungkan Perhimpunan Agung Tahunan UMNO. Bagi pihak Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, saya mengalu-alukan kehadiran para tetamu, para perwakilan dan para pemerhati.

2. Kehadiran bekas pemimpin-pemimpin UMNO di Majlis ini amatlah besar ertinya. Mereka adalah contoh ahli UMNO yang sejati, cekal bersatu, kekal bersetia, taat berkhidmat bersama UMNO. Meskipun telah tidak memegang jawatan di dalam parti mahupun di dalam kerajaan, mereka tetap bersama UMNO secara zahir – secara batin. Kehadiran mereka, menjadi teladan yang membuktikan jiwa besar mereka, menzahirkan ikatan kasih – melambangkan tanda setia, kepada parti dan kepada bangsa. Semangat dan sikap yang mereka tunjukkan, wajib tersemai di dada setiap ahli yang sejati berjiwa UMNO.

3. Kepada semua pemimpin di peringkat Perhubungan, Bahagian dan Cawangan dan kepada sayap-sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri saya mengucapkan terima kasih kerana telah berjaya melaksanakan mesyuarat di peringkat masing-masing. Kejayaan melangsungkan mesyuarat mengikut jadual, memperlihatkan keupayaan kita menguruskan organisasi parti secara teratur lagi berdisiplin, berlandaskan perlembagaan; dan ini menyemarakkan lagi budaya demokrasi subur berkembang.

4. Perhimpunan ini adalah forum terpenting memberikan kesempatan kepada perwakilan bersuara menyentuh perjalanan parti, urusan kerajaan, keadaan semasa negara dan situasi antarabangsa, dalam usaha melangsungkan perjuangan untuk bangsa, negara dan agama. Perhimpunan ini adalah forum tertinggi parti untuk membincangkan isu-isu, menyuarakan pandangan, menyarankan cadangan dan merumuskan resolusi, agar aspirasi ahli dan aspirasi rakyat dapat difahami – dapat dipenuhi. Kepimpinan akan menjadi lebih berkesan, jika ahli-ahli secara jujur – secara ikhlas, secara berani – secara tegas, menyuarakan kebenaran. Kepimpinan akan menjadi bertambah berkesan, jika pemimpin pula bersedia, dengan dada lapang – fikiran terbuka, menerima suara dari ahli-ahli lalu memberi perhatian kepada setiap teguran, pandangan, saranan dan cadangan.


SENARIO SEMASA

Saudara-Saudari

5. Dunia menyambut tahun 2005 dengan perasaan hiba dan sedih. Bencana tsunami melanda Lautan Hindi pada 26 Disember lalu. Lebih dua ratus ribu nyawa terkorban. Lebih dua juta warga Asia menjadi miskin, hilang harta – hilang sumber pencarian. Peristiwa tersebut adalah satu peringatan kepada manusia akan kebesaran kuasa ILAHI. Bencana tersebut telah memperlihatkan rasa kemanusiaan yang tinggi di kalangan warga dunia. Pelbagai bentuk bantuan dihulurkan, termasuk dari kalangan warga Malaysia. Betapa dunia ini akan menjadi lebih aman dan lebih tenteram, jika sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi ini, dijadikan pegangan hidup terutama di kalangan mereka yang memiliki kuasa.

6. Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2005 akan berada pada tahap sederhana. Harga minyak dunia yang terus meningkat mempunyai kesan langsung kepada ekonomi dunia. Asia terus bangkit untuk menjadi pusat graviti pembangunan dan paksi utama ekonomi dunia. Asia Timur memiliki segala potensi untuk menjadi pusat perdagangan dan pusat ekonomi dunia. Di samping China dan Jepun, India sedang bergerak rancak dan diramalkan dalam tahun 2015, menjadi kuasa ekonomi ketiga dunia selepas China dan Amerika Syarikat.

7. UMNO sedang melangkah masuk ke usia 60 tahun. Negara Malaysia di ambang usia 48 tahun merayakan kemerdekaan. Wawasan 2020, telah 15 tahun berlalu dan kini tinggal 15 tahun lagi untuk memastikan matlamat menjadi negara maju akan tercapai. Rancangan Malaysia Kelapan telah sampai ke hari senja Fajar Rancangan Malaysia Kesembilan akan menyingsing.

8. Kita berada di era globalisasi – era yang menjadikan dunia begitu terbuka lagi terdedah. Kita berada di era teknologi maklumat dan komunikasi – era yang ditimbuni pelbagai maklumat dan merangkaikan dunia bagai tercantum. Kita berada di era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan – era ekonomi yang memberi nilai tinggi kepada pengetahuan dan harta intelek. Globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi, serta ekonomi berpaksikan pengetahuan, berpengaruh besar dalam mencorakkan budaya sosial, budaya ekonomi dan budaya politik warga dunia.


HUBUNGAN ANTARABANGSA

Saudara-Saudari

9. Dalam era globalisasi, Malaysia tidak dapat meneruskan agenda pembangunannya secara bersendirian. Pembangunan ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada sumber domestik, tetapi juga kepada sumber-sumber kewangan, ilmu dan kepakaran dari luar. Dalam usaha memelihara kepentingan Malaysia di arena antarabangsa, kita perlu mengurus dan mentadbir secara bijak jalinan perhubungan yang diwujudkan dengan negara-negara lain melalui dasar luar yang berprinsip, bebas dan pragmatik. Adalah penting untuk Malaysia mengamalkan dasar luar yang berkecuali dan tidak bersekutu supaya perhubungan baik dapat dijalinkan dengan semua negara, walaupun berbeza pendapat dan ideologi. Namun, kita perlu konsisten dengan prinsip yang kita pegang supaya Malaysia kekal dihormati, mendapat kefahaman dan kepercayaan di peringkat antarabangsa.

10. Kepentingan negara di peringkat antarabangsa semakin menyeluruh; kerana itu pancang-pancang kepentingan Malaysia ditempatkan di serata dunia melalui pejabat-pejabat perwakilan dan pesuruhjaya perdagangan. Kita perlu menghadapi isu-isu sejagat menyentuh keamanan, kedaulatan, kemerdekaan, perdagangan global, sistem kewangan dan perbankan global, serta pelbagai lagi protokol antarabangsa. Kita menyertai pelbagai badan antarabangsa dan turut diberikan kepercayaan memimpin OIC dan NAM. Malaysia juga akan diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi ASEAN pada akhir bulan ini. Pertama kali dalam sejarah, Malaysia secara serentak dipertanggungjawabkan menjadi Pengerusi kepada tiga badan antarabangsa. Pada bulan Disember akan datang, kita akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Puncak Asia Timur yang pertama. Kita tidak mahu sekadar memanaskan kerusi sepanjang tempoh melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kita perlu membawa kemajuan dan memberikan dimensi baru kepada organisasi-organisasi antarabangsa tersebut.

11. Pada Jun 2004, Majlis Perniagaan NAM telah dilancarkan di Kuala Lumpur. Majlis tersebut bertindak sebagai platform kepada komuniti peniaga negara ahli untuk mewujudkan jaringan perhubungan kerjasama Selatan-Selatan. Pada Mei 2005, kita telah menganjurkan Mesyuarat Peringkat Menteri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali buat pertama kalinya bagi membincangkan isu pembangunan wanita. Deklarasi mesyuarat tersebut menegaskan bahawa peranan dan penglibatan wanita dalam segenap aspek, di semua sektor dan di pelbagai peringkat, adalah perlu bagi mencapai keadilan gender.

12. Adalah menjadi azam saya sebagai Pengerusi OIC untuk memberikan penekanan terhadap agenda ekonomi. Sejak Mac yang lalu, Malaysia telah melancarkan program membinaupaya bagi negara-negara miskin dalam OIC agar pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara mereka dapat dirangsangkan. Bahawa negara Islam yang lebih maju ekonominya akan lebih stabil politiknya, akan lebih dihormati di peringkat antarabangsa, akan berupaya bersuara secara lebih berkesan.

13. Selaras dengan wawasan tersebut, Malaysia mempelopori agenda pembangunan ekonomi untuk OIC. Malaysia merintis usaha menganjurkan Forum Perdagangan OIC pada 20 Jun yang lalu. Kita memulakan usaha menggubal Pelan Induk untuk membangunkan industri perkhidmatan kewangan Islam bagi tempoh 10 tahun. Tabung Bon OIC telah dicadangkan untuk membiayai program pembangunan prasarana, terutama di kalangan negara anggota yang miskin. Malaysia akan terus berusaha memperjuangkan agenda ekonomi OIC, terutama sepanjang tempoh kita menjadi Pengerusi OIC.

14. Keupayaan kita menyuarakan kepentingan kumpulan-kumpulan yang kita wakili, tanpa gentar dan ragu-ragu, telah membolehkan Malaysia berperanan secara berkesan di forum-forum antarabangsa. Malaysia dihormati kerana kebijaksanaan mengamalkan diplomasi halus secara tersirat, terutama dalam usaha merintis perdamaian serta membantu menyelesaikan krisis dan konflik. Malaysia berperanan aktif membantu menyatukan kumpulan-kumpulan yang berkrisis di Kampuchea, di Bosnia dan di Filipina. Malaysia akan tampil ke hadapan secara aktif untuk membantu program membangunkan Iraq dan proses damai di Palestin.

15. Malaysia berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan sesebuah negara, walau sekecil mana sekalipun. Berpegang kepada prinsip tersebut, Malaysia tegas dengan pendirian bahawa tanggungjawab mengawal perairan di Selat Melaka adalah tanggungjawab kita. Kita sama sekali tidak akan membenarkan tentera asing membuat rondaan di perairan berkenaan. Kehadiran mereka tanpa kebenaran kita, merupakan satu pencerobohan yang kita anggap tidak menghormati kedaulatan negara kita.

16. Imej Islam pada kaca mata masyarakat antarabangsa telah dihitamkan semenjak peristiwa 11 September di New York. Ini diperburukkan lagi dengan pelbagai insiden keganasan yang berlaku selepas itu. Yang terakhir, keganasan di London pada 7 Julai yang lalu. Dalam konteks ini, saya mempunyai tiga misi yang ingin dilaksanakan. Pertama, saya akan tegas menggesa masyarakat antarbangsa, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya memahami isu-isu yang menjadi punca sebenar yang mencetuskan keganasan, antaranya dasar kuasa besar terhadap Palestin dan Iraq. Kedua, sebagai Pengerusi OIC, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan kepada masyarakat dunia, bahawa Islam adalah agama kedamaian yang menentang keganasan. Ketiga, sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya bertanggungjawab untuk memaparkan kepada dunia bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam moden, dinamik, bertanggungjawab dan boleh dipercayai untuk menjadi rakan perdagangan, dan tempat yang selamat untuk melabur dan melancong.


ISLAM

Saudara-Saudari

17. Jika di halusi, orang Melayu telah berjaya menegakkan syiar Islam, bukan sahaja di negara kita tetapi di persada antarabangsa, melalui kemajuan negara dan kemajuan ummah yang telah kita capai. Kita juga sedar bahawa Islam dan ajarannya boleh diperalatkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara, untuk tujuan memenuhi agenda sempit. Atas nama Islam, mereka sanggup melakukan perbuatan melampau bersifat ganas. Yang amat kita sesalkan, tindakan mereka ini setiap kalinya membawa kepada kemusnahan, penderitaan dan porak peranda kepada manusia sejagat, termasuk juga orang Islam, yang rata-ratanya tidak berdosa.

18. Kita bertanggungjawab memastikan agar budaya ekstremisme dan tindakan ganas menggunakan nama dan lambang Islam sama sekali tidak berlaku di negara ini. Kita bertanggungjawab melindungi orang Melayu dan umat Islam, dari menjadi alat kepada mana-mana pihak yang mahu menjayakan agenda sempit mereka. Sebarang kealpaan akan memberi ruang kepada mereka, membuat pelbagai perubahan yang boleh memporak perandakan umat Islam dan juga menjejas hubungan harmoni yang terjalin antara kaum di negara ini.

19. Kerana itulah kita perkenalkan pendekatan Islam Hadhari. Pendekatan Islam Hadhari, memerlukan perlaksanaan jangka panjang kerajaan, untuk memastikan masyarakat Islam kembali mengamalkan Islam secara syumul, dalam konteks lebih luas dan pelbagai, meliputi segenap aspek kehidupan. Islam Hadhari kita perkenalkan, agar umat Islam di Malaysia bangun, menjadi pelopor tamadun baru yang dapat memimpin masyarakat dan membawa perubahan progresif lagi menyeluruh. Insya’Allah, umat Islam akan mampu bergerak, seiring dengan bangsa-bangsa yang telah mencapai taraf maju. Malah, umat Islam akan lebih perkasa untuk mempertingkatkan daya usaha, mengukir kejayaan lebih besar – mencipta kecemerlangan lebih agung, komited kepada usaha melahirkan umat terbilang. Alhamdulillah, pendekatan ini semakin diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Pendekatan Islam yang kita laksanakan semakin difahami dan sekaligus menghilangkan kebimbangan di kalangan rakyat bukan Islam.

20. Kejayaan kita mewarnakan imej Islam yang progresif lagi dinamik, telah menimbulkan kebimbangan kepada kumpulan politik yang selama ini, menganggap Islam sebagai monopoli mereka. Usaha-usaha sabotaj lalu dilakukan. Islam Hadhari sengaja disalahtafsirkan untuk menimbulkan kekeliruan. Islam Hadhari bukanlah satu penyelewengan terhadap kesucian ajaran Islam. Islam Hadhari merupakan satu pendekatan – satu kaedah yang menepati kehendak agama; satu usaha penambahbaikan untuk membolehkan perlaksanaan lebih menyeluruh dan bersifat semasa dapat dilakukan. Ia sama sekali tidak mengubah prinsip asas dan nilai teras ajaran Islam. Ia merupakan satu juzuk daripada kesempurnaan Islam yang perlu diberikan kefahaman dan penekanan berdasarkan keperluan dan cabaran semasa.

21. Mereka yang membuat tohmah, bahawa Islam Hadhari hanya memberikan penekanan kepada keduniaan, telah melakukan fitnah. Prinsip pertama Islam Hadhari, ‘Keimanan dan Ketakwaan kepada Allah’, secara nyata menetapkan bahawa pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai teras utama, Al Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai teras pegangan dan rujukan, fardhu ain - fardhu kifayah dijalin bersama. Pendekatan ini tidak susah difahami, jika tafsiran dilakukan secara ikhlas. Penerangan tentang Islam Hadhari turut dilakukan di peringkat antarabangsa. Bermula dari ucapan yang saya sampaikan di Universiti Oxford pada Oktober tahun lalu, perkara ini telah mendapat perhatian utama dalam lawatan-lawatan rasmi saya ke India, ke Pakistan, ke New Zealand, ke Australia dan ke Jerman. Hujah berhubung Islam Hadhari telah diterima baik.

22. Kita tetap mempertahankan pendekatan Islam Hadhari untuk menjadi tunjang pembangunan umat Islam di Malaysia. Insya’Allah, Islam Hadhari akan menjadi pendorong - menjadi inspirasi paling utama, mencetuskan kekuatan, untuk kita mengorak langkah besar ke hadapan, mencapai kecemerlangan, di samping memberi sumbangan ke arah pembangunan tamadun insan. Islam Hadhari dapat menjadi kompas, memandu kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Untuk itu, program pembangunan Kerajaan akan dihuraikan dari perspektif Islam Hadhari, sama ada program pendidikan, ekonomi, kesihatan, membina keluarga bahagia, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah, mengatasi jenayah dan segala gejala buruk dalam masyarakat. Kerajaan akan memantau segala program yang dilaksanakan, yang berkait dengan Islam Hadhari, agar mencapai tujuan dan maksudnya.

23. Islam Hadhari memberi keutamaan kepada pembangunan membina peradaban. Kualiti kehidupan mesti kita perbaiki melalui pembangunan insan yang menguasai ilmu – menguasai kemahiran. Pembangunan fizikal yang diperlengkap dengan pembangunan insan, dilaksanakan secara berhikmah dan seimbang, akan berupaya mengembalikan kegemilangan dan keagungan Islam dan umatnya. Kecemerlangan Islam pada suatu masa dahulu akan kita garap semula di bumi Malaysia. Kegemilangan Islam ketika Tamadun Andalusia, kita jadikan benih inspirasi untuk di semai di Putrajaya.


EKONOMI

Saudara-Saudari

24. Malaysia kini berada dalam persaingan liga utama perdagangan dunia. Negara tidak diberikan sebarang keistimewaan dalam menghadapi persaingan peringkat global. Negara kecil seperti Malaysia berada dalam padang permainan yang sama untuk bersaing dengan kuasa-kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China, Jepun dan India. Walaupun menghadapi saingan sengit, kita bersyukur kerana Malaysia masih merupakan salah satu negara perdagangan utama dunia. Perangkaan tahun 2004 mencatatkan Malaysia menduduki tangga ke 18 terbesar di dunia dari segi eksport dan berada di tangga ke 20 dari segi import. Jumlah dagangan import dan eksport negara di tahun 2004 mencatat angka 882 bilion ringgit.

25. Malaysia telah diiktiraf sebagai negara kedua terpantas membangun selepas India, dan mengatasi China, berasaskan laporan Deutsche Bank mengenai potensi pertumbuhan 34 negara yang maju dan sedang membangun, dalam tempoh 2006 hingga 2020. Laporan juruperunding AT Kearney, menunjukkan Malaysia berada di antara 15 negara utama dari segi destinasi pelaburan asing (F.D.I.), dan berada pada tangga ketiga dunia sebagai lokasi “outsourcing”. Laporan AT Kearney bersama majalah Foreign Policy meletakkan Malaysia sebagai satu-satunya negara dari Benua Asia, tersenarai dalam 20 negara paling global. Kedudukan Malaysia seperti ini adalah potensi besar negara kita. Kita mesti cepat mengambil peluang, merebut dan cepat bertindak, bersedia dan sanggup bersaing dan meraih nikmat sebanyak mungkin. Ke arah itu, persediaan secukupnya perlu dibuat. Rancangan Malaysia Kesembilan adalah perancangan dan juga pelan tindakan. Untuk itu, kita perlu menetapkan beberapa strategi.

26. Pertama; kita perlu melipat gandakan usaha memastikan pencapaian ekonomi negara berada di tahap tinggi dan mapan. Menyedari sumber kita adalah terbatas, kita perlu menguruskan ekonomi negara secara berhemah dengan memikirkan kesan jangka panjang kepada rakyat dan kepada negara. Amat penting bagi negara memikirkan tabungan dan simpanan untuk masa hadapan. Perbelanjaan negara harus dikawal, mengimbangkan keperluan pembangunan bagi menjana pertumbuhan dan pada masa yang sama memastikan bahawa negara tidak menghadapi defisit besar sehingga menjadi masalah membebankan, kerana perbelanjaan Kerajaan melebihi hasil.

27. Keputusan paling berat yang perlu saya lakukan di tahun pertama mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri adalah untuk mengurangkan defisit negara. Walaupun demikian, tidaklah bermakna kita sampai ke peringkat melakukan tindakan drastik hingga menyebabkan ekonomi menguncup. Kita lakukan pendekatan untuk mengurangkan defisit secara beransur-ansur supaya ekonomi dapat terus berkembang. Perbelanjaan pembangunan yang munasabah masih diperuntukkan. Kita membina kekuatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Bagi sesetengah pihak, ketetapan untuk mengurangkan defisit negara dilihat sebagai menafikan mereka dari sumber pendapatan yang biasa diperolehi. Saya amat sedar bahawa ketetapan kerajaan itu tidak merupakan keputusan yang popular dari segi politik. Namun bagi saya, kepentingan jangka panjang negara hendaklah diutamakan; kepentingan negara hendaklah mendahului kepentingan politik kumpulan atau kepentingan politik diri sendiri.

28. Kedua; membina ekonomi berasaskan pengetahuan. Sesungguhnya, Malaysia tidak lagi berada di kalangan negara-negara yang rendah kos perniagaannya. Malaysia pula belum dianggap berada dalam kumpulan negara-negara berteknologi tinggi. Negara sebenarnya tersepit di antara dua senario ini. Keadaan ini menuntut kita melakukan anjakan pendekatan, memberi perhatian berat terhadap usaha-usaha meningkatkan produktiviti, menggalakkan kreativiti dan inovasi, serta memberi fokus kepada bidang-bidang yang kita mempunyai kelebihan persaingan.

29. Rancangan Malaysia Kesembilan dirangka pada waktu Wawasan 2020 berada di fasa kedua. Komponen perkakasan dalam bentuk fizikal dan prasarana telah dibangunkan dengan hebat dalam masa 15 tahun pertama selepas Wawasan 2020 diperkenalkan. Di peringkat melangkah ke fasa kedua Wawasan 2020, tumpuan akan diberikan kepada komponen perisian, menyentuh pembangunan modal insan untuk mengoptimumkan penggunaan segala kemudahan yang telah dibangunkan di fasa pertama, demi menjamin bahawa matlamat mencapai taraf negara maju, menjadi realiti. Sumber manusia adalah elemen terpenting dalam ekonomi negara dan mesti ditambah nilai dan dibinaupaya. Program-program Penyelidikan dan Pembangunan, penguasaan sains dan teknologi, penguasaan ilmu dan kemahiran, perlu digalakkan bagi membolehkan warga menghasilkan ciptaan baru, produk baru, pendapatan baru, kekayaan baru.

30. Ketiga; usaha memperkukuh asas dan fundamental ekonomi negara serta menerokai bidang-bidang pertumbuhan baru. Sektor pertanian akan dimangkinkan melalui pengunaan bioteknologi dan kaedah pertanian termoden; sektor pembuatan ditingkatkan melalui penggalakan pelaburan dalam industri yang lebih berteknologi tinggi; sementara sektor perkhidmatan dimantapkan, khususnya dalam bidang-bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan, sistem kewangan Islam dan pemasaran makanan halal yang mempunyai potensi besar.

31. Keempat; terus memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Kecekapan dan kepantasan sistem penyampaian di negara maju dan di negara-negara yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang rancak harus dijadikan perbandingan. Para pelabur, termasuk para pelabur dari dalam negara, tidak ada masa dan tidak ada kesabaran untuk menanti lama. Para pelabur memilih tempat pelaburan yang memudahkan urusniaga. Dalam hasrat kita untuk sektor swasta menjana pertumbuhan ekonomi, sistem penyampaian yang cekap dan cepat menjadi semakin kritikal. Sistem penyampaian yang cekap dan cepat hendaklah benar-benar berlaku dan dilaksanakan, tidak sekadar tercatat di atas kertas. Kerenah birokrasi perlu dihapuskan. Malah sistem penyampaian yang cekap dan cepat berperanan besar menghindar rasuah. Amalan rasuah turut meningkatkan kos urusniaga dan sekali gus menjejaskan daya saing.

32. Kelima; usaha meningkatkan integriti dan membasmi rasuah meliputi setiap sektor – merangkumi setiap kumpulan; baik di sektor awam, di badan-badan berkanun kerajaan, di dalam Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), termasuk juga di sektor swasta. Kerajaan amat sedar bahawa rasuah mempunyai kesan meningkatkan kos pentadbiran, kos urusniaga dan kos pengeluaran, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan dan produk.
33. Keenam; meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memperbaiki kemudahan perumahan, kesihatan, pendidikan dan prasarana.

34. Ketujuh; membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh masa Rancangan Malaysia Kesembilan.

35. Kelapan; merapatkan jurang pendapatan dan jurang pembangunan. Melaksanakan langkah-langkah untuk merapatkan jurang antara bumiputera dengan bukan bumiputera, antara bumiputera sesama bumiputera dan meningkatkan pendapatan di kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana melalui usaha meningkatkan modal budaya. Begitu juga usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, dan di antara wilayah, dengan meningkatkan prasarana-prasarana asas dari segi sistem perhubungan dan komunikasi, bekalan elektrik dan air, serta institusi pendidikan dan kesihatan, di kawasan-kawasan yang masih tertinggal. Pendekatan inovatif perlu diperkenalkan untuk mempelbagai dan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pemasaran di kawasan luar bandar.

36. Kesembilan; memastikan sumber tenaga manusia bukan hanya dibinaupaya, malah ditingkatkan keupayaan (capacity enhancement). Pengangguran merupakan satu pembaziran lebih-lebih lagi apabila berlaku di kalangan mereka yang memiliki kelulusan akademik. Sektor awam dan sektor swasta tidak lagi dapat menampung bilangan siswazah yang semakin hari bertambah ramai. Para siswazah dan lepasan sekolah perlu dibuka mindanya merintis daya usaha untuk sedia bekerja sendiri. Institusi pengajian dan latihan perlu menilai bentuk-bentuk kursus dan pengajian supaya lebih relevan dengan keperluan semasa sumber manusia.

37. Kesepuluh; membina sebuah negara bangsa yang aman, stabil, makmur dan bersatu padu. Program ekonomi dan program sosial yang dirancangkan perlulah membuktikan sikap adil lagi saksama terhadap warga Malaysia yang berbilang kaum. Di samping itu, iklim pelaburan harus terus memberi keyakinan kepada para pelabur.

38. Saya menghargai sebarang pandangan dari para perwakilan yang boleh dijadikan input tambahan kepada Rancangan Malaysia Kesembilan yang sedang berada di peringkat akhir penggubalan.

AGENDA MELAYU
Saudara-Saudari

39. Orang Melayu bimbang jika mereka terus ketinggalan dari segi kedudukan sosial dan pencapaian ekonomi dan berada di belakang kaum-kaum lain di negara ini. Pada tahun enam puluhan, jurang pendapatan antara Melayu dan bukan Melayu amat luas. Pendapatan orang Melayu kurang dari separuh pendapatan bukan Melayu. Jurang ekonomi ini telah menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu. Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, Kerajaan sedar adalah penting untuk dilaksanakan program yang dapat mengimbangkan kedudukan sosial dan kedudukan ekonomi antara warga pelbagai kaum di negara ini. Orang Melayu perlu diberi peluang untuk berupaya mempertingkatkan diri, supaya dapat menikmati hasil kemakmuran ekonomi negara secara saksama. Dasar Ekonomi Baru (DEB) lalu diperkenalkan sebagai formula untuk menangani jurang ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara rakyat pelbagai kaum.

40. DEB memberi nafas baru kepada orang Melayu. DEB instrumental dalam menghasilkan lebih ramai individu Melayu yang berpendidikan dan berkemahiran. DEB berjaya meramaikan tenaga profesional dan pengurusan Melayu di peringkat tinggi. DEB telah membuka ruang untuk orang Melayu berpeluang menceburi pelbagai bidang keusahawanan. Ini memangkinkan pertumbuhan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Melalui DEB, kelas menengah Melayu telah berjaya diperbesarkan. DEB telah berjaya menaikkan taraf hidup dan pendapatan orang Melayu. Pada permulaan DEB, orang Melayu hanya berpendapatan 44 sen bagi setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan Melayu. Setelah berakhirnya DEB pada tahun 1990, orang Melayu telah berjaya merapatkan jurang pendapatan kepada 57 sen bagi setiap satu Ringgit, pertambahan sebanyak 30%. Pegangan ekuiti Bumiputera meningkat daripada 2% pada permulaan DEB kepada 19% pada tahun 2000.

41. Perangkaan sehingga ini menunjukan sasaran DEB masih belum tercapai sepenuhnya. Ketidakcapaian sasaran DEB bukan kerana kesilapan dasar. Ketidakcapaian tersebut antaranya disebabkan berlakunya ketirisan di peringkat perlaksanaan. Ini kerana perbuatan pihak-pihak yang lebih mementingkan keuntungan jangka pendek (rent-seeking). Peluang yang diberi, disalahgunakan. Peluang yang diberi, tidak diguna bagi membesarkan urusniaga atau meningkatkan kapasiti bagi menjamin kejayaan yang berterusan dan berpanjangan. Permit, kemudahan, kontrak dan lesen yang diperuntukkan kepada Bumiputera, diserahkan kepada orang lain, untuk keuntungan jangka pendek. Setelah itu mereka meminta peluang baru, kali kedua, kali ketiga, kali keempat dan seterusnya; hingga akhirnya lahir satu angkatan Melayu yang menjadikan peranan orang tengah sebagai profesion.

42. Bumiputera diperuntukkan kuota memiliki saham, dalam hasrat mencapai sasaran pegangan ekuiti Bumiputera. Malang bagi bangsa, apabila saham-saham kuota bumiputera, dijual dalam masa terdekat untuk keuntungan cepat. Ada pula individu Melayu diberikan amanah memimpin syarikat-syarikat, mudah berpuas hati dengan penyertaan secara simbolik, memilih berada di pinggiran. Lebih malang lagi apabila terdapat pula yang tidak memenuhi amanah dan melakukan penyelewengan. Selain dari menggagalkan pencapaian matlamat DEB, ketirisan yang berlaku telah mencemarkan imej Melayu, di samping menghakis keyakinan umum terhadap orang Melayu.

43. Masalah yang kita hadapi ini harus ditangani dengan minda dan wadah perjuangan baru. Ia menyentuh maruah bangsa. Ia mengancam survival bangsa. Malaysia di hari semalam, di era DEB baru diperkenalkan, berbeza dengan Malaysia di era ekonomi berpaksikan pengetahuan. Era ekonomi berpaksikan pengetahuan memberi pulangan kepada mereka yang berpengetahuan, mereka yang benar-benar bekerja, mereka yang berupaya menambah nilai. Orang Melayu harus mencetus semangat perjuangan baru. Kelemahan perlaksanaan DEB harus diperbetulkan. Kita hendaklah menyemarakkan usaha perjuangan Melayu dengan strategi pendekatan meningkat keupayaan yang dapat meningkatkan pendapatan orang Melayu, secara mutlak – secara berpanjangan. Sasaran kita adalah untuk mencapai matlamat pendapatan yang saksama, iaitu bagi setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan Melayu, orang Melayu juga akan menikmati pendapatan yang sama.

44. Insan adalah aset penting negara. Modal insan adalah penentu kepada ‘survival’ sesebuah negara. Modal insan merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambah, ditingkatkan nilai intelek serta diperkaya modal budaya. Pembangunan modal insan adalah penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Oleh itu, Kerajaan akan melipat gandakan usaha dengan memperbanyak dan mempelbagaikan program pembangunan insan di kalangan orang Melayu untuk membina kekuatan fizikal, mental dan rohani. Usaha akan ditingkatkan dan kemudahan akan ditambah untuk meramaikan anak Melayu menguasai sains – menguasai teknologi supaya sumber bekalan tenaga profesional Melayu terus terjamin.

45. Dalam merealisasikan hasrat tersebut, pendidikan dan latihan yang berasaskan pengetahuan dan teknologi terkini perlu diperkukuhkan dan akan menjadi teras utama agenda pembangunan Melayu. Agenda pembangunan Melayu mesti memberi tumpuan kepada perisian dan kandungan untuk berupaya meningkatkan kualiti hidup dan modal budaya. Orang Melayu tidak harus berhenti berusaha menimba ilmu – menguasai kemahiran. Orang Melayu harus belajar dan terus belajar sepanjang hayat. Peluang kepada orang Melayu dalam bidang keusahawanan, profesional atau pekerjaan akan terus disediakan. Namun, tatacara memberi peluang perlu dirangka semula, untuk mempastikan peluang diberikan kepada mereka yang benar-benar berkelayakan, berkebolehan serta mempunyai etika kerja - etika urusniga yang betul. Kegiatan meraih untung mudah melalui syarikat bertopengkan Bumiputera serta budaya niaga orang tengah, sementara sifatnya. Amalan ini bercanggah dengan semangat DEB dan perlu dihentikan.

46. Strategi baru ini juga akan memastikan orang Melayu dapat terus membangun tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan. Orang Melayu harus bijak mempelbagaikan pengetahuan, mempelbagaikan kemahiran, mempelbagaikan produk dan mempelbagaikan perkhidmatan, selaras dengan arus pembangunan ekonomi masa kini. Kerajaan tidak mahu orang Melayu selama-lamanya bergantung kepada aktiviti ekonomi yang sama dengan punca pendapatan yang terbatas. Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera mesti berupaya berdiri di atas kaki sendiri dan merebut pelbagai peluang baru, sementara kerajaan berperanan sebagai pemangkin dan fasilitator. Jika sikap berdikari tidak disemai dan dijadikan prinsip, dikhuatiri hasrat melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera tidak mungkin tercapai.

47. Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera perlu menjadi satu tenaga penggerak – satu kuasa pemangkin, menjayakan Melayu dalam bidang urus niaga. Usahawan Melayu perlu berkembang hingga dapat menjana kegiatan ekonomi kepada generasi pelapis, kepada anggota keluarga dan kepada bangsanya. Lebih ramai usahawan Melayu hendaklah berupaya memperbesarkan urus niaga hingga ke peringkat dapat mewariskan kepada anggota keluarga turun temurun. Berniaga dan berusaha sendiri mesti menjadi sebahagian besar budaya Melayu.

48. Sasaran pegangan ekuiti 30% Bumiputera perlu terus diusahakan. Pegangan hartanah orang Melayu tidak boleh dipandang ringan. Hartanah adalah sumber asli yang semakin terhad. Kita wajib memastikan milik hartanah Melayu terjamin, terutama di kawasan-kawasan bandar, supaya Melayu pada satu hari nanti tidak terpinggir di bumi dan tanah airnya. Tanah wakaf, tanah adat, tanah rezab Melayu, tanah pusaka, tanah pertanian tidak harus terbiar; malah perlu dimajukan, dirancang pembangunan yang dapat memberi nilai dan pulangan ekonomi tinggi.

49. Kita perlu lebih bijaksana dalam merangka strategi untuk mencapai matlamat DEB. Orang Melayu yang bersikap betul dan bersifat jujur, apabila diberikan peluang, berupaya membuktikan kejayaan. Begitu ramai anak Melayu mencipta kejayaan, berada di tangga sosioekonomi lebih tinggi, hanya dalam tempoh satu generasi. Melayu seperti inilah yang perlu kita ramaikan dan ditingkatkan kapasitinya.

50. Keadaan kritikal yang melanda sektor pembinaan perlu dijadikan pengajaran. Putaran ekonomi ada turun naiknya. Kini sektor pembinaan tidak serancak dahulu. Keresahan tentunya melanda para kontraktor Melayu. Yang paling terjejas adalah kontraktor ‘kelas F’; kalangan kontraktor awam yang menjalankan kerja-kerja di bawah harga 200,000 ringgit. Kontraktor ‘kelas F’ diwujudkan dengan tujuan membimbing bumiputera menceburi sektor binaan. Kerancakan yang berlaku dalam sektor binaan dalam tempoh masa 15 tahun yang lalu, telah memberikan tanggapan yang salah kepada kontraktor Melayu. Mungkin, ramai usahawan Melayu beranggapan, bahawa sektor binaan merupakan lubuk untuk dapat membantu mereka menjadi kaya secara berkekalan dan berterusan. Lalu mereka berlumba-lumba menceburi bidang ini. Mereka yang terkemudian, menceburinya pada ketika bidang ini sudah sampai ke tahap ketepuan (saturation point).

51. Dalam tahun 1992, bilangan kontraktor bumiputera berjumlah 2,049 meningkat kepada lebih 46,000 dalam tahun 2005, peningkatan lebih 2,000 % (dua ribu peratus) dalam tempoh 13 tahun. Dari bilangan tersebut lebih 42,000 berdaftar sebagai kontraktor ‘kelas F’. Hampir kesemua kontraktor ini mengharapkan kontrak kerajaan. Jika semua kumpulan dan kelas kontraktor digabungkan, terdapat lebih 63,000 kontraktor di negara ini; sebuah negara yang mempunyai 25 juta penduduk; menjadikan nisbah, satu kontraktor bagi setiap 350 penduduk (1:350); sedangkan di negara Jepun yang memperoleh pelbagai kontrak antarabangsa, nisbah kontraktor kepada penduduk adalah satu kontraktor bagi setiap 10,000 penduduk (1:10,000).

52. Dalam tahun 2003, Kementerian Kewangan meluluskan sebanyak 26 billion ringgit bagi kerja-kerja pembinaan dan bekalan, peruntukan tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakang. Dalam tahun 2005, sebanyak 22 billion ringgit diperuntukkan bagi sektor binaan dan khidmat bekalan, jumlah kedua terbesar dalam tempoh lima tahun kebelakang. Namun kerja-kerja binaan masih belum cukup untuk diagihkan kepada bilangan kontraktor yang begitu ramai. Nyatalah dalam sektor binaan, bekalan perkhidmatan telah jauh mengatasi permintaan. Terlalu ramai pemain berada dalam padang permainan yang semakin kecil. Dalam tahun 2000, kerajaan terpaksa melancarkan projek ‘pre-emptive’, meluluskan peruntukan 3 juta ringgit bagi setiap kawasan Parlimen bagi membantu ‘survival’ kontraktor ‘kelas F’. Sepatutnya para kontraktor telah dapat membaca mesej bahawa masa hadapan sektor pembinaan tidak lagi berlangit cerah. Kerajaan tidak akan dapat selama-lamanya berperanan sebagai ‘Santa Claus’, menganugerahkan pemberian sepanjang musim. Mereka sepatutnya mengenali realiti lalu mempersiapkan diri beralih ke sektor lain. Malangnya langkah sekali lalu (one-off) Kerajaan untuk menolong ketika itu, telah disalahtanggap mesejnya. Bilangan kontraktor yang sepatutnya menguncup, terus berkembang.

53. Kerajaan menerima banyak permintaan, desakan, malah ugutan untuk memperbanyakkan kerja-kerja binaan secara “pump priming”, (secara kerajaan memperuntukkan projek dan kontrak), seperti yang pernah dilakukan dahulu. Setiap ayat ada noktahnya. Setiap kitab ada penghujungnya. Kerajaan perlu mengambil pendirian berasaskan realiti. Kerajaan bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara secara berhemah; memikirkan kesan jangka panjang kepada rakyat dan negara. Perbelanjaan negara harus dikawal, mengimbangkan keperluan untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi dijana tetapi tidak pula meletakkan negara dalam keadaan kewangan yang tidak stabil dan berisiko tinggi. Semua negara turut tertakluk kepada hukum-hukum ekonomi ini. Tiada negara yang terpelihara daripada diisytiharkan muflis jika ia tidak dapat menampung perbelanjaannya. Kerajaan tidak boleh berpura-pura, bermain silap mata, menipu ahli UMNO – menipu orang Melayu – menipu rakyat, mengadakan yang tiada. Orang Melayu tidak harus dibina kekuatan berasaskan kepalsuan. Saya sedar ketetapan ini merupakan keputusan yang tidak popular. Tetapi, kita harus mengambil jalan yang betul. ‘Survival’ bangsa dan negara hendaklah diutamakan.

54. Orang Melayu perlu mencari sumber kekayaan baru, terutamanya dalam sektor-sektor yang orang Melayu telah lama bertapak dan mempunyai kelebihan. Sumber baru kekayaan banyak terdapat di sektor pertanian, perikanan dan industri-industri yang berkaitan. Sektor-sektor ini berupaya memberi jaminan pulangan berjangka masa panjang. Banyak potensi yang dapat diraih; tambahan pula dengan penggunaan kaedah bioteknologi. Kunjungan ke Netherlands meningkatkan keyakinan saya akan potensi besar yang terdapat dalam sektor-sektor ini. Sebuah negara seluas negeri Pahang, berupaya menjadi pengekspot barangan makanan dan pertanian kedua terbesar di dunia. Kita perlu mengubah minda dan merubah penilaian terhadap sektor tersebut. Orang Melayu hendaklah ke hadapan, merintis usaha menjadi petani moden – memajukan sektor pertanian – menggerakkan industri asas tani.

55. Kesediaan dan keberanian menceburkan diri dalam sektor-sektor baru yang berpotensi besar, dalam industri perkhidmatan dan industri pelancongan, dipercayai dapat membangunkan kumpulan usahawan Melayu yang lebih bijak meneroka peluang, inovatif dan lebih cekal untuk bersaing. Pengalihan aktiviti ke sektor-sektor baru ini amatlah perlu untuk memastikan penyertaan orang Melayu dalam sektor urusniaga dan ekonomi yang lebih lebar dan luas parameternya. Kerajaan juga akan memberi penekanan kepada pembangunan sektor industri kecil dan sederhana yang memiliki potensi besar untuk berkembang.

56. Kerajaan akan meneruskan dasar membantu perkembangan orang Melayu di sektor swasta dengan menyediakan pelbagai insentif dan membangunkan prasarana. Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau GLC akan memainkan peranan yang besar dalam agenda pembangunan bangsa Melayu. Program vendor dan perolehan GLC akan ditambahbaik untuk memberi lebih banyak peluang kepada vendor-vendor bumiputera yang tulen dan kompeten, berdaya saing – berdaya maju. GLC juga diarah menerajui sektor-sektor baru, merintis usaha – membuka jalan, kepada penyertaan sektor swasta bumiputera. GLC diminta memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, terutamanya membantu perkembangan dan pembangunan bumiputera dalam bidang profesional, pengurusan dan pentadbiran. Tumpuan perlu dijuruskan kepada komponen perisian, dari segi pengetahuan dan kemahiran, nilai dan etika. Usaha hari ini adalah usaha pengisian, usaha dalaman, usaha yang sukar dilihat secara zahir, usaha yang memakan masa untuk bangsa melalui satu marathon panjang. Bahawa perubahan itu memakan masa yang panjang, tetapi kita harus berani memulakan langkah pertama pada hari ini.

57. Wawasan 2020 jelas menggariskan bahawa menjelang tahun 2020, akan berlaku kesaksamaan kaum dengan tiadanya mana-mana kaum yang akan dikaitkan dengan kemunduran ekonomi. Bahawa kesaksamaan tidaklah bermaksud bahawa setiap individu perlu sama kedudukan ekonominya. Kesaksamaan yang dianjurkan perlu mengambil kira merit ataupun prestasi. Untuk tempoh 14 tahun yang akan datang, kita perlu membuat lonjakan besar sekiranya kita berhasrat mencapai tahap kesaksamaan. Usaha mengorak langkah perkasa perlu kita lakukan sekarang. Kita perlu menyusun strategi yang betul demi masa hadapan orang Melayu dan masa hadapan negara. Kita perlu memastikan bahawa segala tindakan berada pada landasan yang betul supaya kita tidak tersasar haluan.

58. Kita perlu belajar dari kejayaan. Kita harus mengambil iktibar dari kesilapan. Bahawa usaha-usaha untuk meningkatkan kedudukan dan prestasi masyarakat Melayu perlu dilakukan dalam konteks ekonomi Malaysia yang pesat membangun. Kita perlu mengambil langkah bijak memastikan kita secara saksama mendapat manfaat dari proses pembangunan pesat yang berlaku itu. Kita perlu memastikan pembaziran tidak berlaku; sebaliknya pengurusan ekonomi mempunyai wajah dan karakter yang melambangkan kecekapan, keberkesanan, keadilan dan kesaksamaan. Persaingan sengit yang perlu dihadapi tidak memberi ruang untuk pembaziran berlaku; tidak membenarkan tanggungjawab besar diserahkan kepada mereka yang tidak mempunyai cukup pengalaman, pengetahuan, kapasiti dan keupayaan. Kita perlu memastikan agar kecekapan dan keberkesanan dioptimumkan. Kita perlu memastikan agar setiap ringgit yang kita laburkan, membawa pulangan maksimum.

59. Tiada siapa boleh menafikan bahawa untuk tempoh masa yang lalu, ada di antara kita yang telah menerima terlalu banyak bantuan dan peluang. Ada juga yang menerima bantuan dan peluang terlalu sedikit. Ada pula yang tidak langsung mendapat bantuan atau peluang. Ini tidak adil. Ini jauh dari saksama. Ini sama sekali tidak boleh diteruskan. Ia perlu dihapuskan dari kamus amalan kita. Tidak akan pernah ada cukup kontrak, lesen, permit mahupun biasiswa untuk semua bumiputera. Kita perlu sedar bahawa apabila kita memberikan biasiswa kepada seorang pelajar bumiputera yang kurang layak, kita sebenarnya menidakkan hak pelajar bumiputera lain yang lebih layak. Ini jelas tidak adil. Menganugerahkan kontrak kepada syarikat bumiputera yang tidak boleh menjalankan kerja secara berkualiti sedangkan ada syarikat bumiputera lain yang lebih berwibawa, juga tidak adil dan tidak boleh diteruskan. Malah, ia merupakan satu pembaziran. Menganugerahkan lesen dan permit dengan tidak berasaskan kepada merit atau prestasi, juga merupakan satu pembaziran. Ia jelas satu ketidakadilan. Kita tidak boleh menutup sebelah mata, tidak boleh memandang ringan kepada segala amalan ini.

60. Segalanya ini adalah budaya yang boleh memusnahkan bangsa dan akhirnya menjatuhkan negara. Ini perlu kita hentikan. Kita meletakkan sasaran pencapaian, tetapi orang lain mentertawakan kita. Apa yang dapat kita banggakan jika pegangan ekuiti Bumiputera hanya tercatat di atas kertas, apabila berlaku ketirisan kerana ada Bumiputera yang digunakan memegang ekuiti tersebut bagi pihak orang lain. Ini penyelewengan namanya. Agenda ekonomi untuk Bumiputera tidak akan tercapai selamanya, jika keadaan ini dibiarkan terus berlaku. Kita perlulah berani melakukan langkah pembetulan secara tegas.

61. Kita tidak mungkin berjaya membuat lonjakan, sekiranya kita tidak memberi fokus kepada usaha memupuk budaya mencapai kecemerlangan, berdasarkan merit – berdasarkan prestasi di kalangan bumiputera. Kita harus berani membetulkan kesilapan yang berlaku. Ini mungkin berat; tetapi kita hendaklah memiliki azam politik, secara tegas, bertekad melakukan pembetulan. Kita sebenarnya melakukan langkah serius lagi bertanggungjawab untuk memperkuatkan Melayu. Jika kita terus melayan mereka yang hanya tahu menggunakan jalan belakang, kita sebenarnya menyuburkan satu budaya yang akan merosakkan bangsa. Kita harus membina budaya baru. Budaya orang Melayu berani berlumba, membina prestasi, memiliki merit, hingga mereka dapat bersaing dan bertanding di peringkat antarabangsa.

62. Asas paling kukuh untuk kita berjaya dalam persaingan yang berteraskan merit dan prestasi adalah kemahuan, kemahiran, kepakaran, ilmu pengetahuan, daya tahan dan kerja kuat. Jika setiap aspek ini disemai dan dipupuk dalam diri Melayu, kita tidak perlu bimbang, Insya’Allah kejayaan sedang menunggu orang Melayu. Jika komponen-komponen ini tidak ada dalam diri kita, janganlah bermimpi untuk kejayaan datang menggolek. Atas dasar inilah, bermula dari sekarang, dengan azam politik, dengan kekuatan politik yang ada pada UMNO, kita menumpukan fokus kepada sektor pendidikan dan sektor latihan, membangunkan modal insan – memperkaya modal budaya keluarga Melayu.

63. Orang yang berani membuat pembaharuan, percaya dan yakin, bahawa bantuan dan pertolongan paling besar dan paling penting akan kita terima, apabila kita memanfaatkan segala apa yang dikurniakan oleh ALLAH SWT. Dua tangan yang dikurniakan, dua kaki kanan dan kiri, dan yang paling penting akal fikiran kurniaan ILAHI. Kita tidak ada banyak masa. Bermula dari hari ini, marilah kita menyediakan diri, mengambil langkah membuat lonjakan; lonjakan perkasa bagi orang Melayu.

64. Menentukan kejayaan Melayu adalah wadah perjuangan UMNO – adalah amanah – adalah tanggungjawab. Matlamat kita adalah untuk melihat orang Melayu berperanan signifikan lagi bermakna. Wawasan 2020 telah meletakkan matlamat untuk mencapai taraf negara maju. Negara maju yang kita impikan itu hendaklah disertai dengan kemajuan orang Melayu. Apalah ertinya kepada bangsa, jika negaranya maju, sedangkan orang Melayu hidup merempat. Kita harus memastikan, bukan sahaja ‘Melayu tidak hilang di dunia’, tetapi Melayu juga tidak ketinggalan. Perubahan minda berteraskan kejayaan – berakarkan kecemerlangan, perlu disemai – perlu dipupuk. Kita telah mula melangkah dari garisan permulaan. Kita hendaklah melangkah dan terus melangkah, biar beribu dan berjuta langkah. Setiap langkah kita bersama, akan memperkuatkan jiwa, memperkukuhkan minda, menanam keyakinan, menyemai keazaman, dalam hati – dalam minda, bahawa kita akan menjadi individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

65. Apabila kita berjaya mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang, walau sekecil manapun bilangan kita, walau dalam sebesar manapun perhimpunan, walau di bumi mana kita berada, walau di bawah langit mana kita bernaung, kehadiran kita akan dirasai dan diberi penghormatan. Kita laksana menara tinggi, teguh kukuh terpacak di bumi – memuncak gagah menyunsung angin. Bahawa kitalah ‘The Towering Malays’ – berdiri gagah – melangkah segak, bijak akal bersalut iman, dilontar ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung.

UMNO

Saudara-Saudari

66. UMNO adalah milik bangsa Melayu, yang telah diwarisi sejak 59 tahun yang lalu. Alhamdulillah, semakin dewasa usianya, UMNO menjadi semakin teguh – semakin kukuh. UMNO telah diterima dan diberikan kepercayaan sebagai pejuang yang telah membuktikan kejayaan meningkatkan syiar Islam, mendaulatkan kemerdekaan negara dan memartabatkan maruah bangsa.

67. UMNO terus relevan dan segar sepanjang zaman – sepanjang masa. UMNO relevan kerana kita selalu memikirkan tentang masa depan dan tentang generasi akan datang. Kita berpandangan jauh dan merancang untuk jangka masa panjang. Kita dirahmati dengan dianugerahkan kuasa menerajui Kerajaan. Kita diberi kepercayaan oleh rakyat semenjak kemerdekaan. Matlamat perpaduan rakyat, konsep perkongsian kuasa, Dasar Ekonomi Baru, Wawasan 2020 – semuanya berkisar untuk membina masa depan yang lebih baik bagi generasi akan datang. Kita meletakkan batu asas bagi pembangunan Malaysia yang lebih aman, maju dan makmur. Kita berusaha dengan gigih untuk mencapai hasrat dan cita-cita.

68. UMNO terus merimbun segar, berbunga sepanjang waktu – berbuah sepanjang musim. UMNO segar kerana taman UMNO ditumbuhi tunas-tunas baru, disiram – dibaja, dijaga baik – dipelihara cermat. Menjadi tanggungjawab angkatan dewasa di dalam UMNO, mendidik dan mengasuh anak-anak muda di dalam parti, agar dapat berperanan dan berkebolehan untuk mewarisi amanah bangsa. Generasi muda UMNO, di dalam Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri – dan kini Putera – perlu dibawa bersama, diberi panduan – diberi bimbingan, diberi nasihat – diberi asuhan. Generasi muda ini semakin terpelajar dan berkemahiran. Sumbangan mereka diperlukan dalam usaha membina bangsa yang maju dan negara yang berjaya.

69. Ahli-ahli UMNO bukan sekadar mewarisi sebuah organisasi, malah mewarisi satu amanah perjuangan – mewarisi satu tanggungjawab terhadap bangsa, terhadap negara, terhadap agama. Tanggungjawab menjadi lebih berat dengan kemenangan besar yang telah diberikan oleh rakyat kepada UMNO dan BARISAN NASIONAL dalam pilihan raya umum pada bulan Mac 2004. Ahli-ahli UMNO adalah pendukung kepada Kerajaan yang telah dipilih melalui proses demokrasi. Kita tidak sekali-kali mempermainkan kuasa pemerintahan dan tidak berniat untuk mengecewakan rakyat. Kata dan janji kita bukan pemanis mulut ataupun sekadar perhiasan parti. Penguatkuasaan undang-undang secara tegas bukan bertujuan menganiayai sesiapa. Kuasa pemerintahan adalah amanah rakyat yang perlu ditunaikan dengan ikhlas – dengan insaf, melalui perancangan dasar, program dan pelaksanaan yang kukuh lagi jitu. Kita perlu menentukan kelangsungan dan kesinambungan perjuangan UMNO supaya matlamat yang kita kejar, tidak keciciran dan hasrat yang kita impikan, tetap tercapai.

70. Kita menghadapi pelbagai cabaran, rintangan dan halangan dalam mendokong perjuangan parti dan meneruskan usaha membangunkan negara. Namun kita cekal dan tabah, melaksanakan amanah bangsa. Ada kalanya usaha kita terhakis dan tergencat, umpamanya ketika dilanda krisis kewangan Asia di tahun 1997. Berpegang kepada sumpah, ‘berpantang mati sebelum ajal’, UMNO tidak cepat menyerah kalah. Kita tidak mengalah kerana cabaran, tidak kalah kerana halangan, tidak tunduk kerana persaingan. Malah UMNO berguru pada pengalaman, berpegang kukuh kepada perjuangan, teguh beriman dengan syariat. Kita yakin pada kuasa dan rahmat ILAHI. Selagi kita ikhlas menjalankan tuntutan ILAHI, beramanah menunaikan harapan rakyat, selagi itu Allah SWT merahmati usaha kita.

71. UMNO kini bukan sahaja dinilai secara dalaman malah turut mendapat perhatian dunia luar. Penilaian dunia luar terhadap UMNO akan mempengaruhi imej mereka terhadap negara kita. Cabaran kepada UMNO menjadi lebih besar apabila UMNO diburuk-burukkan kepada dunia luar melalui tindak tanduk parti-parti pembangkang serta orang-orang perseorangan termasuk dari kalangan yang tidak lagi mendapat tempat di dalam UMNO.

72. Faktor perpaduan ahli, adalah penentu kepada kekuatan UMNO. UMNO terbukti dapat mengharungi pelbagai dugaan selagi ahli-ahli parti kekal bersatu – cekal berpadu. UMNO Insya’Allah tidak mungkin dikalahkan oleh tenaga luar. Tetapi kita perlu waspada dengan perbuatan dari kalangan ahli-ahli UMNO sendiri yang boleh menyebabkan UMNO jatuh.

73. UMNO tidak boleh selesa dan berbangga dengan bilangan ahli yang ramai. UMNO perlu memastikan ahli-ahli parti memiliki integriti yang tinggi. Ahli-ahli UMNO perlu mengawal disiplin diri – memiliki nilai moral yang tinggi – menghindarkan diri dari terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang membolehkan rakyat memandang kita secara sinis. Disiplin dan kawalan moral hendaklah dilakukan secara dalaman; berasa malu untuk terlibat dengan kegiatan-kegiatan maksiat. Organisasi yang kuat dan kekal berkuasa, amat mengutamakan disiplin. Integriti ahli-ahli UMNO akan dapat dipenuhi jika parti mengutamakan amalan disiplin yang tinggi. Integriti ahli-ahli parti akan menentukan budaya yang terdapat di dalam parti.

74. Usaha kerajaan memerangi rasuah tidak akan tercapai jika budaya rasuah terdapat di dalam UMNO. Amalan politik menggunakan wang untuk berkuasa adalah rasuah politik. UMNO tidak mungkin kekal dihormati, jika rasuah politik tidak kita hapuskan. Proses pemilihan dalam UMNO diberikan perhatian kerana UMNO menguasai kerajaan. Pemimpin yang dipilih oleh UMNO akan menjadi pemimpin kerajaan. Jika pemimpin UMNO diragui integritinya, maka usaha kerajaan pimpinan UMNO untuk memerangi rasuah tentulah tidak dapat meyakinkan mana-mana pihak.

75. Proses mendisiplinkan ahli adalah rumit. Banyak rungutan yang dibuat. Banyak cerita yang sampai kepada saya; banyak kisah yang berlegar di telinga rakyat, tentang berlakunya salah laku di kalangan ahli semasa proses pemilihan pemimpin. Ahli UMNO sukar menidakkan tentang berlakunya amalan rasuah politik. Proses siasatan sangatlah rumit kerana pihak yang merungut tidak bersedia tampil kehadapan memberi bukti yang boleh mensabitkan kesalahan. Kaedah dan mekanisme disiplin yang ada perlu terus ditambahbaik. Kita perlu memberikan sokongan kepada setiap langkah dan setiap usaha untuk mendisiplinkan ahli dan membersihkan UMNO dari rasuah.

76. Pemimpin yang korup akan membawa UMNO mengamalkan budaya politik yang korup. UMNO yang korup tidak berupaya menyemai nilai-nilai bersih di kalangan bangsa. Usaha kerajaan memerangi rasuah hendaklah bertunjang dari dalam UMNO. Ahli-ahli UMNO hendaklah berasa jijik terhadap rasuah dan tidak merelakan walau setitik darah yang mengalir di dalam batang tubuhnya atau ahli keluarganya bersumberkan rasuah.

77. Ahli dan pemimpin parti yang terlibat dengan rasuah tidak dapat menipu diri, tentunya tidak lagi dianggap bersih dari kanta penglihatan mereka yang sama-sama terlibat dalam proses memberi dan menerima sogokan, dan sama sekali tidak terlepas dari pengetahuan Allah SWT. Mungkin perbuatan rasuah dapat dilindungi dengan pelbagai dalih di kalangan sesama insan, namun tidak ada siapa yang dapat terlepas dari pembalasan ILAHI. Bahawa jika tuhan mengasihi seseorang hamba, maka hukuman di atas sesuatu kemungkaran itu akan dilakukan di dunia ini, dengan tujuan menginsafkan seseorang insan supaya segera bertaubat. Di sebaliknya, bagi mereka yang diberikan tangguh, pembalasan akan tetap menunggu di Padang Mahsyar.

78. Saya berazam dan nekad membersihkan UMNO dari rasuah politik. Ianya adalah satu usaha yang berat bagai mendaki gunung yang curam. Saya tidak akan kecewa. Saya tidak berputus asa. Selagi hayat di kandung badan, saya akan terus menyeru, memohon kekuatan dari ILAHI, berikhtiar menghapuskan rasuah. Ahli-ahli UMNO hendaklah berpegang kuat kepada prinsip, “bersedia tidak terpilih memegang jawatan” dari terjerumus mengamalkan rasuah. Tidak ada apa yang dapat dibanggakan, jika jawatan diperoleh secara rasuah, kemudiannya mendorong diri menerima rasuah, untuk dijadikan modal menghulurkan rasuah. Malang bagi bangsa, jika kekayaan digunakan untuk mendagangkan kuasa dan jika kuasa pula digunakan untuk menggadaikan bangsa.

79. UMNO perlu mengembalikan budaya politik yang sihat. Budaya politik yang menjadi prinsip pegangan para pengasas UMNO pada masa dahulu. UMNO ditegakkan atas nilai perjuangan bangsa dan atas khidmat kepada bangsa. UMNO tidak sekadar parti politik tetapi hendaklah kita jadikan sebagai satu rumpun besar keluarga Melayu untuk memenuhi satu wadah perjuangan. Bila UMNO dilihat sebagai organisasi politik semata-mata, ahli-ahli UMNO menjadi lebih cenderung untuk bersaing bagi mendapatkan tempat dan kuasa. Teknologi diguna menyebar fitnah. Penulis diupah menyerang individu tertentu. Buruk sangka mengatasi semangat persaudaraan. Berita buruk cepat dimamah – cerita baik sukar diterima.

80. Jika UMNO dapat diperkukuhkan dengan semangat kekeluargaan, maka kita akan dapat membina tali persaudaraan sesama kita. Kita akan mencari dan menerima yang terbaik di kalangan kita untuk memimpin. Kita akan sepakat bersama melaksanakan tugas. Setiap niat – setiap langkah kita, adalah untuk memperkukuhkan UMNO. Untuk itu kita akan menghargai mereka yang terbaik dari kalangan kita. Mereka yang terbaik, diangkat menjadi pemimpin hingga terbina budaya politik yang lebih segar, melangsungkan wadah perjuangan bangsa, diberikan sokongan – diberikan keyakinan. Kita akan dapat menghidupkan budaya politik yang berupaya membina insan merdeka, penuh keimanan, bertakwa dan mengabdikan diri sepenuh-penuhnya kepada Allah SWT.

81. Budaya politik sihat akan menyelamatkan UMNO – akan terus memperkasakan UMNO. Perjuangan memartabatkan bangsa mustahil tercapai sekiranya UMNO tidak bersih, tidak cekap dan tidak amanah. Ahli-ahli UMNO janganlah terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang boleh mencemarkan nama baik UMNO. UMNO perlu diperkasakan dengan organisasi yang utuh dan keahlian yang kukuh. Saidina Ali (k.w.) mengingatkan kita dengan pesanan yang bermaksud kemungkaran dapat ditegakkan oleh organisasi yang kemas, dan sebaliknya, kebenaran boleh diruntuhkan sekiranya organisasi lemah.

82. Oleh itu, organisasi UMNO di setiap peringkat perlu dipertingkatkan sejajar dengan kedudukan UMNO sebagai peneraju politik di dalam negara. Urusetia UMNO – sama ada di peringkat nasional, negeri, pergerakan, bahagian dan cawangan – perlu dibinaupaya dengan kelengkapan moden yang secukupnya, didokong oleh sumber tenaga manusia yang cekap dan berhemah. Urusetia UMNO perlu diperkukuhkan supaya berupaya menjadi pemangkin dan pendokong kepada pelbagai usaha pucuk pimpinan dan pelbagai kegiatan ahli parti.

83. Ahli-ahli UMNO yang mencorak dan mewarnakan perjuangan parti. Ahli-ahli UMNO yang akan menentukan jatuh bangunnya parti, maju mundurnya bangsa dan kuat lemahnya negara. Ahli-ahli UMNO perlu diperkasakan dengan kefahaman dan kesedaran tentang erti perjuangan, tentang peranan dan tanggung jawab ahli kepada parti. Ahli-ahli perlu diperkasakan dengan sifat-sifat berhemah tinggi, beramanah dan berjiwa besar serta dipertingkatkan kebolehan mereka dengan ilmu dan kemahiran. Sesungguhnya, UMNO mahu membina barisan pemimpin di setiap peringkat, yang menjauhkan diri dari perkara-perkara negatif, dari mengadu domba, dari menyebarkan fitnah, atau dari membawa cerita-cerita yang melemahkan pemimpin, parti dan ahli-ahli. Sebaliknya, UMNO mahu membina barisan pemimpin di setiap peringkat, yang kukuh kebolehannya, yang kuat semangatnya, yang cekal hatinya, yang soleh imannya, yang elok muafakatnya dan yang berkesan kerjanya.


PENUTUP

Saudara-Saudari

84. Negara telah menetapkan sasaran mencapai taraf negara maju dalam tahun 2020. Tanggungjawab pengisian wawasan adalah tanggungjawab kita bersama. The ‘towering Malays’ ketika itu perlu berada di barisan utama dalam sebuah negara Malaysia yang telah pun mencapai taraf negara maju. Merekalah Melayu, berani bersaing - berupaya berganding di liga antarabangsa, dalam gelanggang yang lebih luas - dengan peraturan yang lebih bebas.

85. Kita tidak boleh lari dari jihad untuk menentukan pencapaian tersebut. Kita tidak boleh membenarkan diri kita diganggu oleh suara-suara yang masih bercakap tentang isu-isu remeh dan kecil. Kegiatan bercakap, kita biarkan kepada mereka yang selama ini tidak ada kerja lain, melainkan bercakap. UMNO mengutamakan kerja. Masa dan tenaga kita hendaklah kita tumpukan kepada kerja. Kerja yang berat dan tugas yang rumit tidak dapat saya penuhi secara sendirian. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di dalam Majlis Tertinggi terutamanya kepada Timbalan Presiden parti, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang sama-sama mengambil tanggungjawab bekerja bersama saya.

86. Saya menghargai kerjasama serta sokongan yang telah diberikan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, barisan pimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri, pimpinan di peringkat Perhubungan Negeri dan pimpinan di peringkat Bahagian dan Cawangan untuk merealisasikan wawasan dan impian perjuangan UMNO. Saya mengucapkan tahniah atas kreativiti Pergerakan Pemuda mewujudkan Putera UMNO dengan tujuan untuk meningkatkan penyertaan secara aktif golongan remaja di dalam parti.

87. Semoga kita senantiasa mendapat petunjuk dan hidayat ILAHI dalam memenuhi perjuangan yang kita warisi ini. Semoga parti kita, bangsa kita, warga kita, negara kita dan agama kita terus terpelihara. Semoga kita dapat memenuhi cita-cita perjuangan kita. Marilah kita menghayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Faatir, ayat 10:

Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatNya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapatkan kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.


88. Marilah kita memohon petunjuk dan keredaan ILAHI dengan membaca umul-kitab:

AL-FATIHAH

BERSATU! BERSETIA! BERKHIDMAT!

HIDUP UMNO!
HIDUP MELAYU!

Return to Main Page

Comments

Comment emmm..bagi aku kalu aper yang pak lah komen panjang2 tue memang ader kebenarannya...dan aku tak puas ati ngan orang yang tak puas ati ngan aper yang telah dikatakan oleh PM kiter sebabnyer orang yang dok kater Pm kiter menyalak tue....ader akai tak...nak suruh Pak LAh jek jager sume....Yang hangpa sumer buat aper????? tengok ajekkk...At least perdana menteri kiter ader wawasan camtu nak pertahan agama lagi...harap dia jak control sumer dengan kakitangan kerajaan yang tak semianyer jujur... ambek rasuah memanjang..mase ambek kejer bukan main tak ambek rasuah apa...pas dah kejer haaa!!!apa pon yak ambek tau... bagi aku apasal dier tak puas ati sangat??? orang yang kutok PM kiter tue...Die buat aper makan tidor ajelaaa... tak puas ati konon...ntah2 anak hang pon samer laa minum carlsberg mende binatang haram semua.....kurang ajar dasar tak sedar diri....

Thu Sep 21, 2006 10:02 pm MST by zaini

Comment PM hebat...kambate

Thu Aug 24, 2006 11:52 pm MST by bavni

Comment PM hebat...kambate

Thu Aug 24, 2006 11:50 pm MST by bavni

Comment how are you?

Wed Aug 9, 2006 6:13 am MST by Anonymous

Comment semoga umno terus maju biarlah orang terus menjadi pemerintah utama semoga pak lah sejahtera selalu rakyat malaysia terus;lah menyokong umno

Wed Aug 2, 2006 4:59 am MST by amy

Comment bg pluang dulu,,n than kita tengok result dia.kalau bg kt korang jawat jawatan 2 ingat leh bwk ka.ingat senang nk memimpin.korang jgn senang ckp.pikirkan positif dulu, br pikir negatif nya.

Tue Jun 20, 2006 2:27 am MST by tak sokong sapa

Comment kalau pak lah lemah, dia aje letak jawtaan lah.....

Wed Apr 19, 2006 6:54 am MST by Jebat

Comment sy rs bgus la pemerintahan UMNO pd hari nie... tp sy terkilan apbl memorendum yg dihantar oleh menteri bukan Islam kpd pak Lah.. np Pak Lah xmau lawan blk. xmcm Dr Mahathir.. sy rs knp Datuk Najib lbh byk mengurus negara brbanding Pk Lah.. byk msk TV.. contohnya bler harga minyak naik.. Najib yg byk msk TV.. terangkan masalah terkini.. Pak Lah kebanyakan ye msk TV biler pelancaran batik, kain songket Dll..

Wed Mar 29, 2006 7:50 am MST by mizi

Comment ORANG CINA SINGAPURA MEMANG SIAL!! DAH BANYAK SANGAT MINUM AIR NAJIS SENDIRI AGAKNYA.

Mon Feb 6, 2006 8:40 pm MST by Anonymous

Comment Ermmm... apa lah yang Pak lah dok sembangkan tu?. DEB, Melayu, Bumiputera....hanya mimpi disiang hari. Matlamat wawasan 2020 pun kita tak tau, apa lagi nak memerintah. Jangan cerita tentang Islam jika kuasa Melayu dalam parlimen tak cukup. Islam Hadhari apa ke bendanya..jika kat dalam negara sendiri beribu-ribu islam yang MURTAD. Siap walk in ke JPN nak tukar nama dan agama dalam Kad pengenalan. Tak cukup dengan tu, ada pulak golongan MURTAD ni yang sanggup DECLARE dalam surat khabar dia dah keluar ISLAM gara-gara JPN tak luluskan proses pertukaran nama dan agama dalam Kad pengenalan. ISLAM HADHARI APA KE BENDA NYA NIIII. Kalau anak-anak hampa nanti dah tukar gi agama HINDU...apa hampa buleh buat? Tangkap, Denda, Saman dan lain-lain lagi...takde harapan. KHAIRILMUTU A/L ABDULLAH tuuuuu diaaaaaa. Salah sapa? salah MAK BAPAK Depa gi PANGKAH puak2 ni. Perlembagaan Negara (Federal Constitution), selaku undang2 tertinggi menegaskan mereka yg berumur 18 tahun keatas bebas untuk memilih agama masing2. Jadi, nak pastikan hampa terus memerintah dan menambah pengaruh BN.....pi la bawak ramai2 org bukan Islam dlm Parlimen tu dia mari dari sabah dan serawak. Rombak Sempadan Pilihanraya, tambah kerusi dan makin ramailah golongan bukan ISLAM dlm parlimen. Di mana kita, untuk pertahankan ISLAM dalam malaysia. Maka menyalaklahhhh si GERAKAN sekor niee, Jadikan Pendidikan Islam bukan subjek wajip...hanya pilihan...DIA SAPA!!!!. mana puak2 dok laung ISLAM HADHARI, ISLAM HADHARI....awat tak pertahankan kesucian ISLAM...JGN HANYA MENYALAK AJEEEE. Dah lebih 5000 org murtad dah beribu anak luar nikah, dah beribu2 dok minum arak (siap ada kilanggggg CARSBERG lagi) YANG PASTI SEMUANYA ANAK-ANAK ORG UMNO!!!!! SEBAB DEPA YANG SOKONG. JADI HATI BILA NAK PILIH MENANTU, JGN AMIK ANAK2 ORG UMNO TAKUT ANAK LUAR NIKAH ATAU PUN DAH MURTAD...OOOO BAHAYA OOOOO...... ISLAM BADHAWI, ISLAM BADHAWI, ISLAM BADHAWIIIIII. KALAU BENAR MURTAD BOLEH DI SELAMATKAN BUKTIKAN PADA KAMI...WAHAI PUAK2 UMNO? LAGI RAMAI SABAHAN DAN SERAWAKIAN DLM PARLIMEN MAKIN RAMAI LAH KUASA BUKAN ISLAM, YANG HANYA ADA BUMIPUTERA KRISTIAN SEBAGAI AHLI UMNO. PIUUHHHHH....

Fri Dec 16, 2005 4:56 am MST by Pak KaDuk69

Comment penaja site nih adalah dari pelbagi jenis poker eh? best giler! hangat2 taik kucing!

Tue Aug 2, 2005 12:00 am MST by menggelabah

Comment isu semua cover cerita sebenar lah... cerita sebenar pak lah keseorangan menunggu ari nak mampus dibaham oleh DS najib yg amat disukai oleh grass root dan di backing oleh Tun Mahathir. segeralah DS najib bertindak ke atas pak lah yg bodoh itu. -penyokong setia Team A

Fri Jul 29, 2005 9:30 pm MST by Anonymous

Comment Sebagai ahli & rakyat kita ada hak membangkang, bukan hanya setuju & percaya: Perkara2 berikut yg diucapkan Pak Lah wajar dipertikaikan. 1)Para 16: Pertama, (sebagai Pengerusi OIC) saya akan tegas menggesa masyarakat antarbangsa, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya memahami isu-isu yang menjadi punca sebenar yang mencetuskan keganasan, antaranya dasar kuasa besar terhadap Palestin dan Iraq. Komen: Tahukah Pak Lah apa punca sebenar rakyat mengkritik dan membenci UMNO - tentulah dasar UMNO/BN yang tidak adil, tidak islamik dan jahat (rasuah, pendakwaan terpilih, nepotism, campur aduk maksiat, melebihkan golongan pendosa drp golongan yg cuba beramal, perkauman Melayu Elit, dsb.) 2)Para 19:Pendekatan Islam Hadhari, memerlukan perlaksanaan jangka panjang kerajaan, untuk memastikan masyarakat Islam kembali mengamalkan Islam secara syumul, dalam konteks lebih luas dan pelbagai, meliputi segenap aspek kehidupan. Komen: Kenapa pelaksanaan Islam Hadhari yg syumul tidak termasuk bab aurat, amal makruf nahi mungkar, pembinaan akhlak muda-mudi (sebaliknya menggalakkan jadi artis ala idol), meningkatkan pemahaman & amalan melalui gerakkerja dakwah terancang ke seluruh negara, menghalang murtad, memberi penerangan tentang Islam kpd non-muslim (bukan setakat mengajar mereka menepis dakwaan pembangkang utk selamatkan leher UMNO, dsb.) 3)Para 21: Penerangan tentang Islam Hadhari turut dilakukan di peringkat antarabangsa. Bermula dari ucapan yang saya sampaikan di Universiti Oxford pada Oktober tahun lalu, perkara ini telah mendapat perhatian utama dalam lawatan-lawatan rasmi saya ke India, ke Pakistan, ke New Zealand, ke Australia dan ke Jerman. Hujah berhubung Islam Hadhari telah diterima baik. Komen: Di negeri kapitalis/sekular/kafir tentulah mereka menyokong hujah yg selari dgn pemikiran mereka. Pak Lah lupa ayat Al-Quran, "wa lan tardho 'an ka al-yahudu wa lan an-nasara hatta tattabi'a millatahum". Sekaligus menimbulkan kesangsian samada Islam Hadhari menepati ajaran yg disampaikan Rasulullah SAW. Cuba tanya Gen (B) Hamid Zainal Abidin, beliau setuju tak. 4)Para 23:Kegemilangan Islam ketika Tamadun Andalusia, kita jadikan benih inspirasi untuk di semai di Putrajaya. Komen: Tentu sekali akan berjaya dilakukan selagi belum ada tempat maksiat turut dipromosikan di Putrajaya. Tapi unsur pembaziran spt kerja2 membaikpulih kediaman PM berharga 12.5juta rasanya akan menjauhkan anasir-anasir baik daripada mendekati Putrajaya. Shah Alam & PJ selamanya tak akan jadi bandar Islam kerana ada kilang Carlsberg, Anchor dan Tiger beer. 5)Para 84: Kita tidak boleh lari dari jihad untuk menentukan pencapaian tersebut (mencapai taraf negara maju). Komen: Jihad yg dimaksudkan sangat sempit skopnya, semata-matanya mahu mencapai taraf negara maju. Bagaimana jihad memperbaiki sistem pendidikan, sistem kehakiman dan kepolisian, akta ISA, sistem 'polis interrogation, sistem hak assasi tahanan/banduan, sisten pendatang tanpa izin, sistem rawatan kumbahan, sistem bekalan air, sistem makanan halal, sistem pencegahan dadah, sistem pencegahan merokok, sistem alam sekitar, sistem penebangan hutan, sistem latihan khidmat negara, sistem social, sistem tender terbuka, sistem pengangkutan awam dan bermacam2 sistem yang teruk di negara ini yang perlu di'revamp' ikut cara Islam. Wasallam. Sekian.

Fri Jul 29, 2005 1:51 am MST by Abu Ahmad

Comment Tahniah kepada Pak lah yang begitu berani meletak perjalanan halatuju UMNO yang selama ini saya merasakan telah hilang. Saya berdiri teguh dibelakang Pak Lah diatas hasrat dan arah tuju perjuangan sebagaimana yang digarap di perasmian dan penutup perhimpunan UMNO yang baru berakhir. Pun begitu hati saya terasa takut, pertamanya, adalah Paklah seorang di dalam UMNO dalam perjuangan halatuju baru ini?Sedangkan pemimpin-pemimpin UMNo lain masih ingin mengekalkan budaya sediaada. Sanggupkah pemimpin-pemimpin lain melepaskan peluang untuk mengaut kekayaan dengan bersama-sama Paklah mengharungi dan menrealisasikan halatuju baru UMNO ini? Banyak tu yang pemimpin-pemimpin ini terpaksa korbankan dan yang paling penting relakah mereka melepaskan semuanya? Sekiranya mereka tidak sanggup,akan timbul persoalan berapa lamakah Paklah dapat bertahan sebagai Presiden UMNO. Keduanya, saya amat bimbang apa yang dibincangkan, digarap dan dipersetujui semasa perhimpunan yang baru berakhir itu akan menerima nasib dengan semua yang digarapkan oleh perhimpunan-perhimpunan yang lepas. Pada ingatan saya, masalah yg dibangkitkan dalam perhimpunan yang lalupun masih tak dapat diselesaikan. Yang paling malang selepas perhimpunan tersebut semua pemimpin UMNO tiba-tiba menjadi bisu dan pelupa, balik kepada tabiat asal mereka. Akhirnya orang-orang melayu sekali lagi kena jual sebagaimana sebelumnya.

Sun Jul 24, 2005 7:39 am MST by Anonymous

Comment Tahniah kepada Pak lah yang begitu berani meletak perjalanan halatuju UMNO yang selama ini saya merasakan telah hilang. Saya berdiri teguh dibelakang Pak Lah diatas hasrat dan arah tuju perjuangan sebagaimana yang digarap di perasmian dan penutup perhimpunan UMNO yang baru berakhir. Pun begitu hati saya terasa takut, pertamanya, adalah Paklah seorang di dalam UMNO dalam perjuangan halatuju baru ini?Sedangkan pemimpin-pemimpin UMNo lain masih ingin mengekalkan budaya sediaada. Sanggupkah pemimpin-pemimpin lain melepaskan peluang untuk mengaut kekayaan dengan bersama-sama Paklah mengharungi dan menrealisasikan halatuju baru UMNO ini? Banyak tu yang pemimpin-pemimpin ini terpaksa korbankan dan yang paling penting relakah mereka melepaskan semuanya? Sekiranya mereka tidak sanggup,akan timbul persoalan berapa lamakah Paklah dapat bertahan sebagai Presiden UMNO. Keduanya, saya amat bimbang apa yang dibincangkan, digarap dan dipersetujui semasa perhimpunan yang baru berakhir itu akan menerima nasib dengan semua yang digarapkan oleh perhimpunan-perhimpunan yang lepas. Pada ingatan saya, masalah yg dibangkitkan dalam perhimpunan yang lalupun masih tak dapat diselesaikan. Yang paling malang selepas perhimpunan tersebut semua pemimpin UMNO tiba-tiba menjadi bisu dan pelupa, balik kepada tabiat asal mereka. Akhirnya orang-orang melayu sekali lagi kena jual sebagaimana sebelumnya.

Sun Jul 24, 2005 7:32 am MST by Anonymous

Comment Persidangan tahun ni menarik. Sebelum ini sudah hilang serinya sejak Anwar Ibrahim dipecat. Moga resolusi yang dicadangakan,usul yg dikemukakan tidak menjadi gajah putih. Cakap berhabuk, isi tiada. HIDUP MELAYU !.

Sat Jul 23, 2005 9:50 pm MST by adadia

Comment Niat murni Pak Lah adalah untuk menghapuskan rasuah, tetapi niat murni yang lain tidak menuruti Pak Lah. Saya pecaya isu penting dalam agenda Melayu adalah untuk membersihkan pemimpin rasuah bukan sekadar memberi nasihat dan menyuruh mereka mendengar hadis. Saya percaya kalau betul ahli perwakilan dan majlis tertinggi umno mahu membersihkan Melayu dari debu - debu rasuah bersihkan kepimpinan UMNO dahulu.

Fri Jul 22, 2005 1:05 am MST by apit

Comment Terima Kasih kerana membangkit ruang perbahasan ucaptama Pak Lah. Sesuatu yang unik pernah saya lihat dalam sesebuah laman web. Isu yang saya manu bangkitkan adalah mengenai DEB. Kegagalan isu ini bukan isu baru. Kontraktor Melayu yang gagal bukan satu isu baru malah merupakan isu yang sering di bawa ke Perhimpunan Agung. Tapi sedar atau tidak sedar yg membocorkan atau apa yang dikatakan oleh Pak Lah sebagai ketirisan datang dari mereka yang berada dalam dewan yang mulia itu. Ianya datang dari barisan yang dudul bersebelahan dengan Presiden UMNO. Kuasa yang ada pada mereka yang mengucupkan partisipasi Melayu dalam ekonomi. Pak Lah, Isu AP ini semua orang tahu. Yang tak tahu cuma statistik sebenarnya. Ahli UMNO tahu tetapi mereka semua diam dan mereka yang mahu bercakap dengan jujur tidak ada tempat mahu bercakap kerana kepimpinan yang hadir rata - rata mempunyai kekuatan membeli tempat. Kekuatan membeli tempat ini perlu di persoalkan. Hari ini isu AP terselongkar se olah - olah ahli UMNO tidak tahu sebelum ini. Hari ini isu ini terselongkar kerana Pak Lah dan ini amat dibanggakan. Namun ini adalah kerana satu Kementerian yang terlibat. Cuma buka pekong kementerian - kementerian lain seperti Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya. Saya syorkan untuk memastikan semua bentuk pengagihan yang tidak adil, langkah pertama adalah membuka pekong di dada semua mereka yang menjadi tunggak setiap kementerian. Saya cadangkan mula -mula Pak Lah bagi jangka masa tertentu untuk mereka yang tahu mereka bersalah untuk meletak jawatan secara terhormat. Bagi 6 bulan dari tarikh ini untuk mereka berundur atau Pak Lah dengan kuasa yang ada akan memeriksa. Selagi kita tidak kemaskan diri kita, tidak ada orang lain yang akan kata cita - cita kita bersih.

Thu Jul 21, 2005 9:41 pm MST by Mohd Bashir

Add Comment